Cerita Ceriti
Saturday, June 28, 2003
Aku Cinta Padamu, Kamal Hisham III
"Amboi, wangi betul adik kak long ni. Ada date ke?" Siti mengusik Kamal yang asyik tersengih-sengih di hadapan cermin sambil membetul-betulkan bajunya.
"Smart tak Ucu, kak long..?" Siti menunjukkan ibu jarinya ke arah Kamal.
"Ok, kak Long. Ucu pergi dulu.." Kamal mencapai kunci motornya, pantas berlalu. Bimbang kalau terlewat, 'laut yang tenang bisa berombak ganas.'
"Ha..! Itu yang spoil tu. Dah lawa-lawa naik motor pulak. Kalau kereta tu, baru 'class', usik Siti lagi. Kamal mecebik ke arah kak longnya. Setelah enjin di hidupkan, Kamal terus memecut laju motornya.
Anita telah sedia menunggu. Dia sungguh cantik malam itu. Kamal merasakan dialah lelaki paling bertuah ketika itu.
"Kita nak ke mana?" soal Kamal kemudian. "Warung mamak ke, McDonald ke..," sahutnya lagi.
"Alah, tak mainlah tempat-tempat yang macam tu. Pergilah restoran ke.." Kamal merungut perlahan. 'Koyaklah poket aku malam ni..'
Sedang mereka asyik menjamu selera, tiba-tiba..
"Hey..Anita.." Mereka serentak mendongak.
"Eddy..! Eh, bila you balik dari US ni. Senyap-senyap aje, tak beritahu pun. How are you?" Anita menyapa mesra rakan lamanya itu.
"Eh, siapa tu? Boyfriend you ke?" sambung Eddy lagi sambil matanya terarah pada Kamal. Kamal tidak menghiraukannya. Dia meneruskan suapannya biarpun nasi yang di telan bagaikan kerikil yang menyakitkan tekaknya. Anita dilihat hanya mengangguk. Eddy mencebik.
"Dulu I offer you jadi girl I, you tak nak. Sekarang.." Hati Kamal bagai di simbah dengan bara api. Panasnya meluap-luap, membakar segenap rasa dalam jiwanya. Rasa bagai ingin di tinggalkan sahaja tempat itu. Namun, cuba di redakan amarah yang melanda. Dia harus bertindak rasional, bukan terburu-buru yang kelak mungkin akan di kesali. Mereka berdua terus berbual tanpa menghiraukan kewujudan Kamal di situ. Sebentar kemudian..
"Oklah, Nita. I've got to go. Kalau you free, call I.." Eddy berlalu, setelah sempat melemparkan senyuman sinis ke arah Kamal. Anita kembali melabuhkan punggungnya di hadapan Kamal.
"Siapa tu?"
"Eddy.." Anita menyahut pendek.
"I tahulah nama dia Eddy. Siapa dia, kawan, boyfriend..!" Kamal cuba mengawal emosinya.
"Mal ni mengarut aje. Ada ke you cakap dia boyfriend I, boyfriend I kan you. Kenapa ni, jealous ke?" Kamal hanya merengus kasar. Mukanya masam mencuka.
"Kalau dia kawan you, kenapa tak kenalkan I pada dia?! I kat sini macam tunggul," Kamal melampiaskan sedikit api kemarahannya.
"Alah, sorrylah. You ni sensitiflah.." 'Cuba kau, aku buat macam itu. Tak muncung, nasiblah,' sapa hati kecil Kamal.
"Dahlah, jom pulang. I dah tak ada mood." Anita hanya menurut. Kata-kata Eddy tadi masih lagi terngiang-ngiang di cuping telinganya.
"Dulu I offer you jadi girl I, you tak nak. Sekarang.." Memang ada terasa sedikit penyesalan di hati. Kalau dulu dia terima cinta Eddy, taklah dia 'melekat' dengan si 'pokai' ni!
Sudah puas enjin motor cuba di hidupkan. Peluh merenik di dahi Kamal. Muka Anita masam mencuka.
"I dah kata, hantar tembak aje motor you tu. Ini tidak, sentimental valuelah, sayanglah. Ha..sekarang!" Anita merungut. Kamal hanya mendiamkan diri. Malas rasanya hendak membalas rungutan Anita. Jam di tangan menunjukkan sudah lewat 11 malam. Enjin di cuba lagi.
Hon! Hon! Cahaya lampu menyilaukan matanya. Sebuah kereta sport hitam menghalakan lampunya ke arah mereka berdua. Eddy..
"Kenapa ni, motor rosak ke?" sapa Eddy, menjengukkan kepalanya keluar tingkap kereta.
"Eddy, you boleh hantar I balik tak? Besok, I ada kelas pagilah.." soal Anita pantas.
"Boleh, of course. Naiklah.." Anita bingkas bangun, memandang sekilas pada Kamal yang hanya tercegat, memandang. Sebentar kemudian, kereta itu menderum pergi membawa Anita bersama cintanya.
Pukul 1 pagi. Kamal tiba di rumahnya. Motornya yang rosak sudah di tarik ke bengkel. Kak Longnya sudah lama di buai mimpi. Kamal mencampakkan kuncinya lalu menghempaskan tubuhnya di atas ranjang. Katil itu berkeriut di hempap badannya. 'Sanggup kau buat begini, Anita..' Kamal mendengus kasar. Sakit hatinya mengenangkan perbuatan Anita sebentar tadi. Kamal merasakan seolah-olah cintanya selama ini tidak di hargai, tidak punya apa-apa makna. Apalah erti kasih sayang kalau tiada walau secubit pengorbanan. Kamal masih gelisah. Perasaannya benar-benar terguris. Lena yang di carinya bagaikan tandus. Kamal terus dicengkam resah biar malam kian berlalu.
"Mal, kenapa kau ni, boring aje..? Assignment Mr Krishnan pun kau tak siapkan, kau ada problem ke?" Razak memandang sekilas ke arah Kamal tapi kembali menatap nota-nota di hadapannya. Kamal hanya membisu. Tidak sanggup rasanya diluahkan perasaannya ketika itu. Terlalu bisa rasanya untuk menzahirkan rasa kecewanya terhadap sikap Anita semalam. Buku nota di hadapannya di conteng.
"Ha..itu buah hati, pegarang jantung kau tu. Ok, aku 'chow' dulu." Razak menepuk bahu Kamal dan berlalu pergi. Anita melabuhkan punggungnya di hadapan Kamal.
"Mal, Nita ada sesuatu nak cakap pada you. Nita rasa lebih baik kita selesaikan sekarang. Tak perlu di tangguhkan lagi.." Pena Kamal terhenti. Dia mendongak, menyapu wajah jelita di hadapannya. Mendengar tutur kata Anita, dadanya tiba-tiba berdebar. Anita kembali meneruskan bicaranya tadi.
"Mal, kita putuskan hubungan kita!" Rasanya bagai petir menikam ke dada Kamal. Alam di pandang gelap-gelita. Sunyi bagai tiada berpenghuni. Kaku dan bisu. Anita terhenti. Dia kalut melihat Kamal begitu. Tapi, hasratnya harus di teruskan. Semalaman dia tak lena, menimbangkan keputusan yang di ambilnya. Dan dia merasakan yang dia harus meneruskan demi untuk kebaikan masa depannya sendiri. Kamal memandang tajam pada Anita. Dia bergelut dengan perasaannya.
"Kenapa Nita?!" Kamal akhirnya bersuara. Jemari Anita di raih lembut. Tapi, perlahan-lahan Anita menarik kembali tangannya dari genggaman Kamal. Kamal bingung. 'Apa yang terjadi, Anita masih merajukah..?'
"Mal, Nita mahu hubungan kita setakat ini sahaja. Nita tak mahu Kamal dalam hidup Nita lagi. It's over!!" Anita bingkas bangun, hendak melangkah pergi. Pantas Kamal menarik tangan Anita. Tutur bicara Anita bagai menghunus ke jiwanya.
"Takkan kerana motor rosak, you nak tinggalkan I. Come on, Nita. Apa jua masalah, kita boleh selesaikan. Nita.." Kamal bagaikan hilang haluan seketika.
"Look, Mal. I am sorry. Tapi, Nita tak boleh teruskan hubungan kita. I need a future, Kamal. I tak mahu nanti hidup I terolang-oleng tanpa haluan. Lepaskan I, Mal!" Beberapa pasang mata memandang ke arah mereka.
"You dah ada pengganti,Eddy..?" Nada Kamal yang tinggi tadi mula kendur. Anita mengangguk lemah.
"Tapi, you baru jumpa dia, Nita. You tak kenal lagi hati budinya!"
"Dia kawan I. Lagipun, itu bukan urusan you, Kamal..!" Anita merentap tangannya dan berlari pergi. Kamal hanya memandang kosong jejak langkah Anita yang kian jauh darinya. Bagai hilang segenap tenaga dalam tubuhnya. Perlahan-lahan di capai begnya dan melangkah lesu.
Kamal termangu sendirian. Berbagai rasa menghuni benaknya. Rindu, kecewa, marah, kesal semuanya datang bertimpa-timpa. Kenangan manis terus bermain di ruang matanya. Ingin sahaja di luahkan perasaannya di ketika itu pada alam. Biar alam bergema. Biar dunia tahu betapa besar cintanya pada Anita. Nota-nota ulangkaji di biarkan sepi. Kamal hanyut di bawa arus kekecewaannya.
"Amy, kau nak makan apa? Hari ini aku belanja." Suria menepuk-nepuk dompetnya yang buncit sambil tersengih.
"Oklah. Pasal kau nak belanja, aku nak mee siam, epok-epok, air oren dan coklat," balas Amelia tersenyum.
"Amboii..mentang-mentang aku nak belanja, kau kenduri ya. Mana pergi diet kau tu?" Amelia tertawa sambil menanggalkan cermin matanya. "Baiklah, kau punya pasal aku sanggup." Suria berlalu pergi. Amelia memerhatikan keadaan sekeliling kafeteria. Waktu petang-petang begini, kafeteria memang lengang. Kebanyakkan pelajar sudah pulang. Satu pandangan menggamit perhatiannya. Dia menoleh.
"Hai Kamal," sapa Amelia. Dadanya berdebar-debar. Memang selalu Amelia begitu bila terpandangkan Kamal. Wajah putih bersih dan rambut yang di sisir kemas itu sering mengoncangkan hatinya.
"Amy..," sahut Kamal pula. Dia melangkah lemah ke arah Amelia. Perpisahannya dengan Anita masih lagi bersisa di hatinya.
"Kamal dah makan ke, kalau belum boleh join kita," pelawa Amelia. Suria yang sudah kembali ke meja, mengangguk sama.
"Tak apalah, Amy, Suria. Thanks anyway." Kamal melangkah pergi. Amelia bingung dengan sikap Kamal. 'Mungkin dia ada masalah..'
"Hei Amy..! Apa lagi yang kau menungkan tu. Makanlah."
"Kamal tu sejak dia 'break up' dengan Anita, dia memang macam tu. Sayang sungguh dia pada Anita kan." Suapan Amelia terhenti.
"Apa, Kamal dah putus dengan Anita..?!" soal Amelia, terkejut. 'Pasti dia kecewa..' Amelia bingkas bangun, seraya mencapai beg sandangnya. Dia pantas berlari.
"Amy, nak ke mana kau..?!" Suria lantang memanggilnya. Tapi, Amelia sudah hilang dari pandangan.
Nafasnya tercungap-cungap. Amelia memperlahankan lariannya tadi. Kamal di lihat sedang duduk di bangku taman. Renungannya di hala jauh. Dia hanya duduk terpaku. Perlahan-lahan Amelia menghampirinya.
"Kamal.." Kamal menoleh ke arahnya. Amelia melemparkan senyuman. Tudung biru yang di pakainya, bergerak-gerak di tiup angin. "Maafkan Amy kerana menganggu. Kamal ada masalah? Boleh Amy kongsi sama? Biar ringan bebanan tu.." Kamal hanya berdiam diri. Bicara Amelia di biarkan sepi tanpa berbalas. Amelia tidak putus asa. Dia mencuba lagi. "Luahkan apa yang Kamal rasa. Jangan pendamkan. Amy sedia mendengarnya..," pujuk Amelia lagi. Perlahan-lahan Kamal mengarahkan pandangannya kepada Amelia. Seketika itu juga, airmata Kamal mengalir. Airmata cinta dan kekecewaan. Tersentuh hati Amelia melihatnya. Namun di biarkan sahaja. Biar Kamal benar-benar menzahirkan perasaannya. Terhurailah segala bebanan yang menghimpitnya selama ini.
Cuaca redup di perkarangan taman. Burung-burung berkicauan mencari sarang. Amelia masih lagi di sisi Kamal. Dia tidak mahu berganjak dari situ selagi semangat dan harapan Kamal tidak dipulihkan. Dia tidak mahu Kamal terus hanyut dalam arus kehampaan yang kelak akan memusnahkan dirinya sendiri.
"Kamal..," lembut suara Amelia menyapa kuping telinga Kamal. "Ini bukan akhir segala-galanya. Kita harus teruskan kehidupan kita. Perjalanan kita masih jauh dan banyak lagi hasrat kita yang belum tercapai. Biar masa dan waktu yang mengubati lukamu, Kamal. Setiap manusia pernah terluka dan kecewa tapi mereka bangkit semula. Jadikanlah kekecewaan itu sebagai asam garam kehidupan. Dunia ini masih indah untuk kita terus bersedih, Kamal. Jangan sia-siakan waktu yang berlalu." Kamal meraih wajahnya, menatap Amelia.Amelia tersenyum. Kamal cuba membalas.
"Mal akan cuba, Amy. Mungkin bukan hari ini atau esok. Tapi aku akan bangkit semula, insyallah. Anita kan ku jadikan memori yang berlalu. Terima kasih, Amy.." Tangan Amelia perlahan-lahan diraih dalam genggaman.
Senja kian berlabuh. Alam kian kelam. Namun, Amelia berharap harapannya mungkin akan secerah mentari yang kan bersinar pagi nanti. Dan dia akan menanti walau seribu tahun lagi kerana,"aku cinta pada mu, Kamal Hisham."
Aku Cinta Padamu, Kamal Hisham II
Hujan turun mencurah-curah dari langit petang itu. Kamal berlari-lari, cuba mencari teduhan. Motornya, siang tadi dipinjamkan rakan sekelasnya. Dalam perjalanan pulang, langit mula mendung. Kamal terus berlari. Fikirannya masih lagi merusuh, mengenangkan pertengkarannya dengan Anita tempohari. Kali ini, dia tak mahu mengalah. `Apa nak jadi, jadilah..'
"Ooops.." Kamal terlanggar dengan seseorang. Ternyata lamunannya jauh melayang. Gadis bertudung yang di langgar terbongkok-bongkok mengutip kertas-kertas yang bertaburan. Dia menyusun semula beberapa helai nota Kamal yang turut jatuh dan menyerahkannya kembali.
"Maafkan saya," tutur gadis itu lembut.
"Tak apa, saya pun bersalah..," balas Kamal seketika kemudian. Gadis itu tersenyum dan terus berlari pergi. Kamal juga meneruskan langkah. Dia harus cepat sampai ke rumah. Badannya sudah mengigil kesejukkan.
"Mal..!" Kamal yang sedang menuju ke kantin, pantas menoleh. Razak tercungap-cungap, menghampirinya.
"Kenapa ni, Jak? Kelam-kabut aje, jom sarapan dulu."
"Eh, tak boleh. Aku dah lewat ni. Aku cuma nak pinjam assignment Mr Krishnan. Kau dah buat belum? Besok due kan..Aku tak sempatlah, research pun belum lagi." Kamal hanya mengeleng-gelengkan kepala.
"Kau ni tak habis-habis dengan alasan kau." Kamal mencapai fail birunya dan menyelak-yelak beberapa helaian kertas, mencari kertas kerja yang sudah beberapa hari lalu disiapkan. Tapi, kertas kerja itu tiada.
"Eh, Jak..aku punya dah hilang. Semalam ada.." Kamal masih lagi cuba mencari-cari kertas-kertas yang sudah di kepilkan itu. Tetapi, hampa.
"Kalau macam itu, tak apalah. Nanti aku cuba tanya Anuar. Kalau ada, aku salinkan satu copy untuk kau sekali." Kamal hanya mengangguk-angguk, bingung memikirkan kertas kerja itu. Dia terus juga menyelak-yelak helaian kertas dalam failnya.
"Saudara cari ini ke?" Beberapa helai kertas di suakan kepadanya. Kertas kerja Mr Krishan.
"Maafkan saya," pinta gadis itu lagi. Kamal memandang gadis itu, cuba mengingati sesuatu.
"Bukankah awak yang saya terlanggar semalam..?" Gadis itu terseyum sambil menganggukkan kepalanya.
"Maafkan saya sekali lagi."
"Oh, tak mengapa. Saya pun silap juga. Tak hilang assignment ni, dah cukup bagus. Terima kasih, saudari..?"
"Amelia, panggil Amy sahaja.
"Saya..Kamal..Kamal Hisham. Err..saya nak ke kafeteria. Amy nak ikut sama?"
"Takpalah, terima kasih. Saya beredar dulu." Kamal tersenyum. Leka dia memerhatikan Amelia berlalu. 'Manis, bersopan pulak tu, tak macam Anita..' sempat hatinya berdetak seketika.
Amy masih lagi terus melangkah. Tidak berani rasanya dia hendak menoleh ke belakang. Hatinya berdebar-berdebar. Kamal..Kamal Hisham..Memang lama sudah nama itu bertakhta di jiwanya. Namun impian itu di pendamkan sahaja. 'Siapalah yang inginkan aku ni. Rupa takda, gaya jauh sekali. Lainlah si Anita tu. Cantik, bergaya, kaya pulak tu. Kamal, andainya kau milikku..!
"Oiii, Amy..! Nak ke mana kau tu? Kelas di sini..!" Lamunan Amelia tercantas. Pantas Amy menoleh. Kelihatan Suria mengamitnya. Baru Amelia sedar dia sudah jauh berkhayal. Cepat-cepat di atur langkah menuju ke arah Suria yang masih lagi menunggunya.
Ternyata kejadian tadi di saksikan sepasang mata yang penuh dengan api cemburu. Hati Anita benar-benar sakit. Perasaan cemburu menguasainya. 'Berani si Amy tu rapat dengan Kamal. Dia belum kenal aku siapa!" Anita cepat-cepat melangkah ke arah Kamal yang sedang bersarapan. Dia harus berbuat sesuatu. Kamal miliknya dan akan terus menjadi miliknya.
"Hai Mal..," sapa Anita lembut. Kamal mendongak. Hanya sekilas wajah Anita di pandang, kembali dia menghadap sarapannya semula.
"Mal, you masih marahkan I lagi ke..?" Anita cuba berlagak manja. Hati Kamal harus di takluki semula. Kamal terus membisu. Dia agak terkejut dengan perubahan sikap Anita. 'Selalunya tidak begini. Kalau dah merajuk, mengalahkan budak-budak..'hati kecil Kamal berkata-kata.
"Oklah, I apologise. I yang salah. Forgive me,please.." Anita terus merayu. Kamal kembali menatap seraut wajah di hadapannya itu. Seraut wajah yang sering menemani lenanya. Tidak dapat di bayangkan bagaimana sunyi hidup ini tanpanya. Ternyata cintanya terlalu agung. Tidak mungkin tergugah walau apa jua yang melanda.
"Mal.."
"Oklah, I forgive you." Kamal tersenyum, mencuit hidung Anita. Cinta kembali bertaut antara dua insan itu.
Amelia mengeluh perlahan. Beg sandangnya di letakkan ke atas katil. Tudung putihnya perlahan-lahan di tanggalkan. Dia menghadap cermin. Kebahagiaan yang baru sahaja bercambah terasa bagai di pangkas. Adegan sebentar tadi umpama belati tajam yang menghunus ke jiwa. Air jernih menuruni lurah pipinya. 'Kamal, mengapa aku jadi begini kerana kau. Aku bagaikan merindui bulan yang tinggi di langit, tak mungkin tercapai tangan,' Amelia merintih sendiri. Masih terbayang lagi kemesraan dua sejoli yang sedang bercinta itu di hadapan matanya tadi. Kamal dan Anita. Pasangan ideal. Sama cantik, sama padan. 'Aku..' Amelia melepaskan keluhan kecil, jejari mengesat airmatanya. Direbahkan tubuhnya ke katil. Hanyut di bawa oleh bebanan perasaan cintanya yang entah bilakan berakhir.
(Bersambung..)
Thursday, June 26, 2003
Aku Cinta Padamu, Kamal Hisham I
"Pang..!" Gagang telefon di hempaskan keras. Razak, yang sedang membaca di situ, mengelengkan kepalanya melihat gelagat temannya itu.
"Kenapa ni Mal, perang lagi ke?" sahutnya seketika kemudian bila dilihat Kamal masih lagi membungkam di sofa itu. Kamal memandang sekilas pada Razak. Dia merengus kasar.
"Itulah, orang bercinta, kau nak bercinta. Orang bahagia, kau berperang," sambung Razak.
"Orang perempuan beginilah. Sensitif. Sikit-sikit merajuk. Leceh," Kamal tiba-tiba merungut. Razak ketawa kecil.
"Eh, sudahlah. Kau ni nak balik tak? Kalau nak balik, biar aku hantar."
"Aiii, macam tak suka aje." Kamal menjuruskan pandangannya ke arah Razak. Matanya tajam menikam.
"Ok, ok, aku balik.." Razak mencapai beg sandangnya, menuruti langkah Kamal.
"Eh, itu Anita. Pergilah, pujuk dia." Razak mencuit lengan Kamal yang sedang asyik menatap buku catatannya. Kamal mendongak, melontarkan arah pandangannya ke Anita dan kawan-kawannya yang sedang duduk selang beberapa meja di kantin itu. Ketika itu Anita juga menoleh ke arahnya. Kamal merengus, segera mengalihkan pandangannya semula.
"Malaslah aku, Jak. Jenuh aku ni memujuknya. Silap sikit, merajuk. Salah sikit, muncung. Bukan silap aku pun, aku kena pujuk juga. Ah..! Biarkanlah dia."
"Macam itulah orang perempuan, Mal," usik Razak, sambil tersenyum. Kamal hanya mendiamkan diri. Biarpun dia merungut dengan sikap Anita tetapi Tuhan sahaja yang tahu betapa dia sayangkan Anita. Percintaan mereka yang baru setahun telah memekarkan bunga-bunga cinta yang membuahkan impian-impian indah. Anita, memang seorang gadis yang cantik. Wajahnya yang iras Pan-Asian dan rambutnya yang dibiarkan lepas mencecah pinggang menyerlahkan lagi keanggunannya. Ramai pelajar lelaki yang meminatinya. Dan Kamal tidak menyangka, perkenalan singkat mereka telah membuahkan bibit-bibit cinta.
"Kamal..!!" Kamal tersentak. Lamunannya sebentar tadi hilang. Dia mendongak.
"Err..Mal, aku rasa aku pulang dulu. Nanti aku call engkau. Balik dulu, Nita." Razak bingkas dan berlalu pergi. Anita tercegat, memerhatikan Kamal yang cuba bersikap selamba.
"Kenapa ni Nita..?!"
"Kenapa, you tanya I? Kenapa you letakkan telefon semalam. I belum habis cakap!" Anita membentak keras. Dia merenung tajam ke arah Kamal.
"I malas. Semua explanation I you tak nak dengar. I nak cakap apa lagi." Kamal cuba mengawal suaranya. Dia sedar beberapa pasang mata mula memerhatikan mereka.
"Hei, Kamal..! I ni girlfriend you. Kalau I tak cemburu, siapa lagi..?!" Anita menjawab kasar.
"Nita, berapa kali I nak cakap. Dia tu cousin I dari London. Dia datang bercuti. Salah ke kalau I temankan dia jalan-jalan.." Kamal cuba menerangkan keadaan sebenar punca perbalahan mereka. Semuanya bermula bila Anita ternampak dia bersama sepupunya. Sangkanya Kamal sudah berlaku curang. Tapi, Kamal sebenarnya masih setia dengan janji-janji mereka. Dia hanya sekadar menemankan Nora yang datang bercuti dari London.
"You tanya I salah atau tidak..you tanya diri you sendiri.." Anita merengus kasar. Dia masih lagi tercegat, memandang tajam pada Kamal. Kamal diam. Dia melepaskan keluhan berat. Sejurus kemudian, Kamal kembali mendongak. Dia tersenyum hambar ke arah Anita yang terus membungkam di hadapannya.
"Oklah, ok..Mal mengaku Mal salah. Janji tak buat lagi.." Kamal akhirnya mengalah. Perlahan-lahan wajah Anita berubah ceria. Senyumannya menguntum di bibir.
"Kalau cepat-cepat mengaku, kan senang. Janji, tak buat lagi..?" cetusnya kemudian.
"Promise.." sahut Kamal, seraya mengangkat telapak tangan kirinya seolah-olah bersumpah. Lega hati Kamal melihat Anita tersenyum semula. Memang kadangkala bosan juga dengan sikap Anita begitu. Namun apakan daya; bila hati sudah sayang semuanya di turutkan.
Ring..! Ring..! Telefon biru itu dibiarkan menjerit. Kamal leka meniti bait-bait ayat notanya siang tadi. Kalau tak bersiap dari sekarang, esok exam alamat 'bungkus'lah. Pintu kamarnya di ketuk dari luar.
"Ucu, telefon..," suara kak longnya menyapa dari luar. Kamal bingkas mencapai gagang telefon.
"Hello, Mal..," tercelus suara Anita mesra.
"Hello, sayang..," sahut Kamal kemudian. Terdengar Anita tertawa kecil di hujung talian.
"Mal busy ke?"
"Sibuk juga, Mal tengah study ni. Kenapa?"
"Kalau esok, busy tak?"
"Esok, kenapa? Esokkan Sunday.." soal Kamal lagi.
"Takdalah. Besok Anita nak ke library. Lepas tu, kita jumpa. Boleh?" Kamal menyepikan diri. Kalau boleh, dia tak mahu kemana esok. Dia ingin menyelesaikan ulangkajinya. Tapi, kalau dibantah, tentu Anita merajuk.
"Mal, boleh tak..? Kalau tak boleh, tak apa.." Anita mula mendesak bila Kamal hanya mendiamkan diri. Tepat seperti yang di duga, Anita sudah mula merajuk.
"Yalah, sayang. Nanti esok Kamal datang. Di mana?" Kamal mengalah lagi. Terpaksalah bersengkang mata malam ini untuk menyiapkan kerja-kerja yang bertimbun.
Setelah berbicara sebentar, gagang telefon di letakkan. Kamal kembali leka dengan tugasannya tadi. Dia hanya tersedar bila jam di dinding berdenting 3 kali. Kamal bangkit. Dia menguap beberapa kali. Pantas dia merebahkan tubuhnya di katil. Tapi matanya tak mahu lena. Fikirannya menerawang. Wajah Anita menerpa, tersenyum padanya. Kadangkala, timbul rasa jengkel dengan sikap Anita yang seolah mengongkongnya. Mungkin Anita sering di manjai keluarganya, Kamal cuba mencipta andaiannya. Namun bila terkenangkan kenangan manis yang telah di cipta bersama, perasaan jengkel Kamal hilang. "Akan ku jadikan kau ratu hatiku," bisik Kamal. Sejurus kemudian, Kamal terlena di ulit bayangan Anita.
Kamal tergesa-gesa bersiap. Kunci motor di atas meja pantas di capai. Dia cepat-cepat menuju ke pintu.
"Eh, tak minum kopi dulu, Mal?," sapa Siti, kak longnya.
"Tak sempat. Mal dah lewat ni." Kamal pantas menyarung kasutnya. Siti menghulurkannya secawan kopi.
"Itulah, bila di kejut, tak mahu bangun." Siti mengelengkan kepala, tersenyum melihat tingkah adiknya itu. Kamal menghirup kopinya.
"Terima kasih, kak long. Mal pergi dulu.." Kamal sempat menghulurkan salam pada Siti.
"Bawa motor elok-elok," pesan Siti sebelum menghantar Kamal dengan pandangan matanya.
Kamal memecut motornya laju. Dia sudah terlewat. Alat keluinya sudah beberapa kali berbunyi. 'Pasti Anita merajuk..' detik hatinya. Tiba di tempat yang dijanjikan, dia terlihat Anita dibawa kereta sport hitam, pergi. Kamal hanya terpacak, memandang. Hatinya merusuh.
"Kenapa semalam you tak datang?! Kalau tak nak datang, cakap. Jangan buat orang ternanti-nanti. You ingat I ni tiang lampu ke..?!" Anita membentak. Kamal hanya membungkam. Masih terbayang lagi peristiwa semalam di ruang matanya.
"Hei, kenapa diam ni? You dah bisu ke?!"
Kamal, yang sejak tadi menekur kembali mendongak.
"Dah ada kereta sport yang menjemput pun bising juga?" Kamal menjawab mudah. Dia menatap ke wajah Anita.
"Apa y..you cakap ni? K..kereta sport apa?!" Anita tergugup-gugup menjawab persoalan yang Kamal lontarkan.
"Nita, Mal nampak dengan mata kepala I sendiri. Kan bagus naik kereta?" Kamal menyindir keras. Dia cuba mengawal kemarahan yang marak di dalam dadanya.
"Oh..itu. Kawan lama I. Kebetulan dia lalu kat situ. Tunggu you, macam buah tak jatuh. Ahh..Mal, you jangan sengaja nak cari pasal. You yang datang lewat, you nak marah I pulak?" Anita menyahut pantas, cuba melindungi kesalahannya.
"Sudahlah Nita. I dah letih bertekak dengan you. Semua you nak menang. Kalau silap I, you cari. Tapi, kalau silap you..," Kamal merengus kasar. Dia bingkas bangun.
"I nak balik.." Pantas Kamal melangkah, meninggalkan Anita terkulat-kulat di situ.
(Bersambung..)